Peniaga jual sayur kailan ikan masin RM18 kena jawap notis dalam masa 48 jam

0
49
Sayur kailan ikan masin yang dijual pada harga RM18

CYBERJAYA – Peniaga di sebuah restoran di Kelapa Batas, Pulau Pinang yang menjual sebungkus sayur kailan ikan masin pada harga RM18 telah diberikan notis.

Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) itu dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang.

Pejabat KPDNHEP dalam kenyataannya memaklumkan pegawai penguat kuasa agensi itu sudah melakukan siasatan di restoran terbabit selepas memperoleh maklumat.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP telah menyiasat aduan pengguna berkaitan ‘harga terlalu mahal tidak setara kuantiti yang diberikan’ pada hari sama perkara ini tular.

“NPMB bagi makanan kalian ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga itu dan dia perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja,” katanya.

Semalam tular di media sosial satu hantaran berserta resit memaparkan harga keseluruhan makanan yang dimuat naik seorang pelanggan restoran itu.

Dalam hantaran itu, individu terbabit terkejut apabila sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan dijual pada harga RM18.

Menurut petikan hantaran itu, dia sedia maklum dengan kenaikan harga barang mentah dan reda dengan harga ikan jenahak, sayur campur, ulam dan sambal yang dibelinya.

Bagaimanapun, dia sukar menerima kenaikan sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan pada harga RM18 yang ia dianggap terlalu mahal.

Kos keseluruhan makanan yang dibeli individu berkenaan berjumlah RM122 namun dia tidak mendedahkan nama restoran berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here