Penyerang ‘Joker’ mahu ‘tikam lebih ramai orang’

0
321
Hattori difahamkan sudah merancang serangan itu sejak beberapa bulan lalu.

TOKYO – Pihak polis Tokyo mengesahkan lelaki yang berpakaian seperti watak Joker dari komik Batman yang menikam orang ramai dan cuba mencetuskan kebakaran di dalam sebuah kereta api kelmarin, bercadang untuk ‘membunuh ramai orang’ dan telah merancang serangan itu sejak beberapa bulan lalu.

Kata Reuters, suspek yang dikenal pasti sebagai Kyota Hattori, 24, dilaporkan membuat pengakuan itu kepada pihak polis dengan berkata, “Saya mahu membunuh (lebih) ramai orang, saya mahu dihukum mati.”

Siasatan polis mendapati, Hattori mula merancang serangan itu setelah berhenti daripada kerja pada Jun lalu, dan kemudiannya berpindah dari bandar Fukuoka ke Tokyo.

Suspek turut difahamkan memberitahu polis bahawa “kehidupannya termasuk perihal pekerjaan dan rakan-rakan tidak berjalan dengan baik”.

Siasatan turut mendapati, suspek memilih musim Halloween sebagai waktu melakukan serangan kerana tahu Tokyo akan dipenuhi orang ramai.

Dalam kejadian Ahad lalu, 17 individu tercedera akibat ditikam.

Seorang mangsa berusia 70 tahun sedang dirawat di unit rawatan rapi, manakala mangsa yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketika ditahan, Hattori didapati sedang duduk dengan gaya bersahaja di salah sebuah gerabak kereta api berkenaan sambil menghisap sebatang rokok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here