Perbicaraan kes Da’i Syed bermula April 2022

0
69
Da’i Syed

PETALING JAYA – Perbicaraan kes melibatkan pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful yang didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta tahun lalu ditetapkan selama 10 hari bermula April tahun hadapan.

Hakim Jamaludin Mat menetapkan sembilan hari bermula 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 dan sehari pada 17 Mei, sebagai tarikh perbicaraan ketika sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen hari ini, lapor Harian Metro.

Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan memanggil tujuh saksi pendakwaan termasuk mangsa, untuk memberi keterangan.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun, di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara jam 3 hingga 4 pagi, 17 Oktober 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, Syed Shah Iqmal turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pada 19 Mac lalu, Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, untuk dibicarakan bersama.

Syed Shah Iqmal yang diwakili peguam, Syed Amirul Syed Edros ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, beliau sudah bersedia untuk dibicarakan meskipun ia akan mengambil masa yang panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here