Perdana Menteri adakan lawatan rasmi ke Indonesia

0
8
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasminya yang pertama ke Indonesia selama tiga hari bermula hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, pada hari pertama lawatan hari ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo.

“Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.

“Lawatan rasmi itu bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang pelbagai dan sedia kukuh antara Malaysia dengan Indonesia. Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin meneroka peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.

“Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan perkembangan penting di rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN, serta cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran serantau,” kata kementerian itu dalam kenyataannya hari ini.

Sempena lawatan itu juga katanya, Ismail Sabri dijadual mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia, Ketua-ketua Editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara

Sementara itu, Perdana Menteri juga akan melawat kemudahan industri pertahanan di wilayah Bandung.

Lawatan rasmi itu dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here