Petugas Parlimen disahkan meninggal dunia akibat Covid-19

0
65
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kematian seorang petugas Parlimen berusia 54 tahun semalam adalah disebabkan oleh Covid-19, kata Pejabat Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengarahnya, Datuk Dr. Param Jeeth Singh berkata, mangsa yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) disahkan positif Covid-19 pada awal bulan ini, lapor portal Astro Awani.

Menurutnya, pesakit mula mengalami gejala demam dan batuk pada 3 Nov lalu dan telah melakukan ujian saringan Covid-19 RT-PCR pada 8 Nov dengan bacaan nilai CT adalah 17.4.

“Bilik Gerakan Covid-19 Pejabat Kesihatan Lembah Pantai telah menghubunginya pada hari yang sama untuk siasatan dan mendapati status Covid-19 kes adalah Kategori 2a (risiko rendah dan gejala ringan).

“Kes telah diarahkan untuk ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) bagi penilaian klinikal dan seterusnya rawatan susulan jika berkaitan.

“Pada 9 November 2021, kes telah hadir ke CAC di Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar dan memaklumkan yang beliau mengalami sesak nafas.

“Penilaian klinikal menunjukkan status Covid-19 kes adalah kategori 4 dan beliau dengan segera telah dirujuk ke HKL dan kemudiannya telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Param Jeeth berkata, siasatan mendapati pergerakan beliau sebelum ini hanya meliputi tempat kerja dan rumah sahaja serta tidak terlibat dengan perjumpaan bersama ahli Parlimen dalam tempoh dua minggu sebelum dikesan bergejala.

“Mangsa juga sudah tidak hadir bekerja sejak mula mengalami gejala dan hari terakhir hadir ke pejabat adalah pada 3 November 2021.

“Seramai empat orang kontak rapat iaitu dua orang kontak di rumah dan dua orang kontak di tempat kerja telah dikenal pasti dan kesemuanya telah menjalani kuarantin sebaik sahaja dikenal pasti,” katanya.

Justeru, katanya pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here