PH dalang sebenar keruntuhan kerajaan negeri Melaka pimpinan Sulaiman

0
71

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) adalah dalang sebenar kepada keruntuhan kerajaan negeri Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri, sehingga memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) ini diadakan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, momokan bahawa UMNO menjadi dalangnya hanyalah bagi mengabui mata rakyat daripada melihat fakta sebenar.

“Bukan UMNO yang tarik sokongan tapi empat Si Kitul (empat ADUN) yang dibelakangkan PH, kalau PH tak di belakang mereka, kerajaan negeri Melaka tidak akan jatuh.

“Ini yang dicaturkan presidennya sendiri yang berhajat besar nak jadi Perdana Menteri yang akhirnya dia cuma berikan janji palsu kepada mereka termasuk bekas Ketua Menteri (Datuk Seri Idris Haron),” kata Asyraf Wajdi dalam program Pentas Anak Muda secara langsung di Facebook, malam tadi.

PRN Melaka kali ini terpaksa diadakan apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri, Oktober lalu.

Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Idris yang kini merupakan ahli PKR bertanding di atas tiket PH di DUN Asahan, sementara Nor Azman Hassan mewakili Amanah yang bertanding di DUN Pantai Kundor.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Idris turut diketepikan apabila gabungan itu menamakan bekas ketua menterinya, Adly Zahari menjadi calon tunggul PH untuk jawatan itu.

“Akhirnya kalau dia bersama Anwar, dia akan jadi ketua menteri, tapi dia pun kena kencing. Kita serah kepada rakyat kerana kita perlukan mandat yang betul untuk pastikan Melaka terus stabil,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here