PH mahu SPR teliti pengiraan undi di kerusi sengit

0
160
Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pusat, Mohamad Sabu bersama Anthony Loke, Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi (PH) Melaka, Adly Zahari ketika menunggu keputusan keputusan PRN Melaka di Hotel La Crista.

MELAKA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti pengiraan jumlah undi di kerusi-kerusi yang sengit dihadapi calon Pakatan Harapan menentang Barisan Nasional (BN).

Dalam gesaannya, Anthony mahu supaya pengiraan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terutama melibatkan undi-undi rosak dikira dengan teliti bagi memastikan keputusan rasmi yang diumumkan tepat.

“Ada beberapa kerusi yang mempunyai perbezaan undi yang amat dekat, misalnya di Pengkalan Batu.

“Kita harap SPR dapat lihat semula undi-undi rosak supaya ada keputusan yang lebih jelas dalam beberapa jam lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pucuk pimpinan Pakatan Harapan di Hotel La Crista di sini malam ini.

Anthony berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi, PH yakin masih mempertahankan kerusi-kerusi tradisional pakatan itu.

“Kita akui kerusi yang kita sandang tidak dapat dipertahankan tetapi ada kerusi yang kita yakin bertahan seperti di Banda Hilir, Kesidang, Kota Laksamana dan Ayer Keroh,” katanya.

Sementara itu, calon PH di kerusi Bukit Katil, Azly Zahari meletakkan punca kekalahan PH dalam pilihan raya kali ini kepada jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah.

“Sekiranya lebih 70 peratus (peratusan), pencapaian kita mungkin berbeza dan cabaran Covid-19 juga memberi kesan yang keputusan kali ini,” katanya.

Reaksi pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pusat, Anthony Loke, Saifuddin Nasution Ismail bersama Pengerusi (PH) Melaka, Adly Zahari selepas sidang akhbar mengenai keputusan PRN Melaka di Hotel La Crista.

Setiausaha PH yang Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media yang sama juga berkongsi pendapat yang sama untuk memahami mesej sebenar yang disampaikan rakyat.

Katanya, pihaknya akan melakukan kajian dan penelitian secara objektif termasuk meneliti corak pengundian mengikut usia, saluran dan lokaliti (bandar/pinggir bandar).

“Kelangsungan PH untuk masa akan datang akan berpandukan penelitian kami terhadap capaian hari ini.

“Walaupun keputusan di Melaka bukan kayu ukuran yang mutlak, kami memahami keputusan ini memerlukan penelitian,” katanya.

Beliau yang mengakui tidak dapat meneruskan mandat daripada pilihan raya 2018 mengakui kemenangan BN dan akur kepada pilihan rakyat yang perlu dihormati.

“Kami ucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here