PN bertanding di semua kerusi DUN Melaka bagi pecahkan undi Melayu – Isham Jalil

0
101
ISHAM JALIL

MELAKA – Tindakan Perikatan Nasional (PN) bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka adalah bertujuan untuk memecahkan undi Melayu dan memastikan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) negeri itu.

Penasihat Komunikasi BN, Isham Jalil berkata, PN pimpinan Bersatu berbuat demikian hanyalah kerana mahu UMNO tunduk kepada kehendak mereka.

Kata Isham, beliau percaya Bersatu mahu Umno melepaskan tuntutan mereka terhadap semua kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Kata Isham lagi, Bersatu perlu “berfikir semula” sekiranya ia merasakan memecahkan undi Melayu akan memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) dan menyebabkan Umno terpaksa berunding untuk menyertai PN.

“Kami tidak akan dijadikan sebagai ‘tebusan’,”katanya.

“Ini hanya akan menguatkan lagi tekad kami,” kata Isham dalam satu temubual, semalam.

Isham menambah, beliau juga percaya bahawa PN tidak berhasrat untuk memenangi pilihan raya itu kerana tiada sokongan akar umbi sebaliknya niat mereka hanyalah untuk memecahkan undi BN.

Katanya, BN mempunyai peluang cerah untuk menang tetapi tambahnya, “Kami tidak mahu terlebih yakin.”

Beliau mendakwa, menurut kajiannya, sentimen yang memihak kepada BN adalah jauh lebih baik berbanding ketika PRU14 apabila sokongan Melayu turun kepada 65 peratus.

“Jika kita berjaya mendapat 70 peratus hingga 75 peratus sokongan Melayu, kita mungkin dapat menang di 17 kerusi. Namun, kita perlu bekerja keras,” jelas Isham.

Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gabungan itu boleh memenangi 18 kerusi dan membentuk kerajaan negerinya sendiri.

Mohamad berkata, keyakinan itu berdasarkan kajian dilakukan BN ketika tempoh berkempen selain data yang menunjukkan pengundi konsisten mengundi BN sebelum PRU14.

Isham kemudiannya berkata, beliau juga berharap PAS akan kembali bekerjasama dengan Umno.

Katanya, beliau bersemangat melihat ahli PAS membantu BN memasang bendera di kawasan mereka.

“Kita juga mahu mereka yang berada dalam Bersatu untuk kembali kepada UMNO. Bagaimanapun, saya tahu, berdasarkan sejarah, ia tidak akan berlaku sehingga mereka kalah.

“Oleh itu, kami perlu menang menentang PN,” katanya.

Proses pengundian PRN Melaka akan berlangsung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here