PN tawar RM200 jika menang PRN Melaka

0
596
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan manifestonya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Shah Alam hari ini

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menawarkan bantuan bayaran RM200 sekali bayar kepada guru tahfiz, Kelas al-Quran, Fardhu Ain dan tadika di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) jika berjaya membentuk kerajaan negeri.

Tawaran bantuan itu diumumkan oleh
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan manifestonya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Muhyiddin berkata, bantuan sama akan diberikan kepada anak-anak yang dilahirkan di Melaka bermula tahun ini sebagai insentif kepada rakyat dalam tempoh sukar sehingga memberi kesan kepada perbelanjaan menyambut kelahiran.

“PN menyedari dalam tempoh yang sukar ini, perbelanjaan untuk menyambut kelahiran anak juga memberi kesan kepada sebahagian rakyat.

“Oleh yang demikian, bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada semua anak yang dilahirkan di negeri Melaka pada tahun 2021,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional bagi PRN Melaka di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga jika menang akan memastikan Melaka berada dalam kedudukan tiga negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di negara ini.

“Selain itu, hab pendidikan latihan dan vokasional ataupun TVET akan diwujudkan di Melaka iaitu melalui kerjasama kementerian dan agensi berkaitan dan juga pihak swasta tempatan dan antarabangsa.

“Keprihatinan PN kepada rakyat adalah merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk belia dan juga wanita melibatkan golongan suri rumah, ibu tunggal dan orang kelainan upaya dan pelbagai program bantuan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan,” katanya.

Beliau menambah, perhatian juga akan diberikan kepada koperasi usahawan wanita yang bergiat aktif perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

PN dalam manifestonya menggariskan enam tunjang utama dengan 11 strategi berlandaskan kepada 74 pendekatan jika parti tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri  di Melaka.

Tunjang tersebut adalah ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur dan keteguhan serta kejujuran pentadbiran motto ‘Melaka Bangkit Gemilang’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here