Potong separuh elaun saya untuk atasi masalah di Ayer Keroh- Fun Juan

0
69
Fun Juan beramah mesra dengan pengundi di DUN Ayer Keroh pagi ini

AYER KEROH- Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Yong Fun Juan bersedia untuk menyerahkan separuh elaun wakil rakyat kepada penduduk kawasan itu jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Fun Juan berkata, ia bagi membuktikan komitmen beliu dalam mengutamakan segala kepentingan masyarakat kawasan itu dalam menyelesaikan masalah-masalah berbangkit yang dihadapi penduduk DUN Ayer Keroh.

Katanya, beliau sangat memahami setiap permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kawasan itu terutama isu banjir yang sekian lama membelenggu rakyat.

“Saya yakin melalui pelaksanaan manifesto BN isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh lima tahun.

“Jika saya diberi mandat sebagai wakil rakyat DUN Ayer Keroh, satu tabung kebajikan DUN Ayer Keroh akan diwujudkan dan saya terlebih dahulu menyerahkan separuh elaun wakil rakyat ke dalam tabung ini bagi kegunaan penduduk Ayer Keroh yang memerlukan bantuan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu program debat dengan calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP, yang juga penyandang kerusi itu, Kerk Chee Yee yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook.

Mengulas lanjut, menurut Fun Juan, melalui manifesto BN menawarkan langkah penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di Melaka dengan sejumlah peruntukkan sebanyak RM931.2 juta.

“Masalah pertama yang akan kita selesaikan ialah isu banjir yang mana kita turut tegaskan pada manifesto BN dan melaluinya, akan ada usaha penyelesaian jangka pendek dan sederhana diambil untuk menanganinya.

“Bagi tujuan itu juga, tender projek sudah pun dibuka dan akan digerakkan menjelang Februari tahun depan meliputi kerja-kerja pembaikan sistem saliran perparitan, tindakan altenatif tebing sungai… kita janji akan menyelesaikan segera isu banjir ini melalui kerjasama semua pihak yang berkaitan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here