Prihatin nasib anak hilang ibu bapa akibat Covid-19, Farm Fresh lancar tabung bantuan

0
145
Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi bin Mohd Jidin menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 pada majlis pelancaran Tabung Anak-anak Yatim Covid Farm Fresh di Serdang.

SERDANG- Pengeluar produk tenusu terbesar negara, Farm Fresh Berhad melancarkan Tabung Didik Kasih Anak Yatim dalam usaha mengumpul dana pendidikan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, inisiatif itu dilancarkan bagi mengajak rakyat berkongsi rezeki membantu anak-anak kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19.

Katanya, dana terkumpul itu akan disalurkan secara terus kepada Yayasan Didik Negara (YDN) seterusnya diagihkan kepada golongan sasar.

“Selepas negara memasuki fasa endemik, banyak pihak memberikan tumpuan memulihkan sektor ekonomi negara, namun ramai terlupa dan terlepas pandang nasib anak-anak malang itu.

“Jadi, kami terpanggil untuk mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama berkongsi rezeki menyumbang dalam tabung yang dilancarkan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Konsert Kongsi Kasih Farm Fresh X Gegar Vaganza semalam.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal ketika memperkenalkan perisa susu pisang Farm Fresh di ladang Farm Fresh, Serdang.

Yang hadir sama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohamad Harun.

Mengulas lanjut, Azmi yang terkenal dengan gelaran Bos Susu berkata, pada awal bulan ini, Farm Fresh telah menyumbang dan menyalurkan sejumlah RM500,000 kepada YDN untuk diagihkan kepada murid-murid yang terkesan.

Katanya, kempen kutipan dan sumbangan bagi Tabung Didik Kasih Anak Yatim Farm Fresh itu akan berlangsung secara berterusan dan menyasarkan kutipan berjumlah RM3 juta.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi bin Mohd Jidin bersama Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina binti Mohd Harun bergambar dengan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 selepas menyampaikan sumbangan pada majlis pelancaran Tabung Anak-anak Yatim Covid Farm Fresh di Serdang.

“Berdasarkan jumlah penonton yang menonton Konsert Gegar Vaganza pada setiap musim yang mencecah lebih 3 juta orang, saya yakin sasaran ini dapat dicapai,” ujarnya.

Sementara itu, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik inisiatif Farm Fresh yang mewujudkan Tabung Didik Kasih Anak Yatim Farm Fresh.

Beliau berkata, usaha murni itu sekali gus membantu membela nasib dan kebajikan kanak-kanak yatim yang kehilangan ibu bapa terutama disebabkan Covid-19.

Pada masa sama katanya, usaha itu menjadi platform bagi mengumpul dana dan kemudian akan disalurkan kepada YDN untuk membantu anak-anak yatim yang memerlukan.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi bin Mohd Jidin (dua dari kiri) semasa hadir pada majlis pelancaran Tabung Anak-anak Yatim Covid Farm Fresh di Serdang. Turut serta Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina binti Mohd Harun (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal (kanan).

“Kerjasama erat YDN dan Farm Fresh ini adalah satu permulaan yang pasti memberi manfaat besar kepada kanak-kanak terbabit.

“Justeru diharapkan lebih banyak syarikat korporat dan orang perseorangan turut bersama-sama menghulurkan sumbangan kepada YDN,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here