PRN Melaka: 217 pusat undi dibuka esok, 476,037 pengundi berdaftar

0
2
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran akan dibuka untuk proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 12,290 orang petugas terlibat bagi melancarkan proses pengundian.

“Seramai 476,037 orang bakal mengundi di PRN Melaka esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Menurutnya, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Bagaimanapun, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir. Majikan juga perlu membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok.

“Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Ikmalrudin berkata, pengundi juga diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan sanitasi tangan, merekodkan kehadiran dan mengamalkan penjarakan fizikal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here