PRN Melaka: 28 calon PN akan tandatangani aku janji perangi rasuah

0
37
Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Kesemua 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani aku janji sebagai komitmen memerangi rasuah.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, ia selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah serta memberi layanan adil kepada semua pihak.

“Ini adalah jaminan PN dan jaminan yang sama untuk rakyat Melaka. Untuk menunjukkan kita komited perangi rasuah, kita telah sediakan aku janji dan calon perlu menandatangani aku janji ini dalam sehari dua.

“Ini untuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan yang dibentuk selepas 20 Nov ini adalah kerajaan PN Melaka dengan dasar yang diamalkan berteraskan kepada prinsip yang saya jelaskan tadi,” katanya pada program Pentas PRN Melaka PN malam tadi.

Program yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai disiarkan menerusi Facebook rasmi Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, selain itu manifesto PN bagi PRN berkenaan akan diumumkan dan diperincikan dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Pagoh dalam pada itu berharap sedikit kelonggaran SOP PRN Melaka diberikan dengan membenarkan calon bertemu pengundi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, susulan SOP khas PRN yang ketat, beliau menggesa semua calon bertanding diberi peluang untuk muncul di kaca televisyen bagi memperkenalkan diri masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal 16 Nov berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here