PRN Melaka bukan bahan uji kaji atau eksperimen

0
13
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika melawat pusat media PRN Melaka di Hotel Kobemas di sini

MELAKA- Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan medan untuk pengundi membuat uji kaji atau eksperimen kerana kesannya amat besar kepada negeri dan juga negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kesilapan yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak wajar diukangi pada PRN Melaka.

“PRN Melaka bukan medan untuk kita buat uji kaji, ingat ini bukan eksperimen sama seperti yang telah dilakukan pada PRU-14. Apa yang dilakukan sebelum ini terbukti silap dan salah.

“Apa yang dilakukan ketika itu (Silap memilih pada PRU-14) telah menyebabkan negara menjadi tidak stabil, PRU-14 ramai yang buat uji kaji dan cuba tukar kerajaan.

“Tukar kerajaan bukan bahan uji kaji dan boleh dibuat sewenang-wenangnya. Jadi, jika salah pangkah, negeri dan negara akan tidak stabil dalam tempoh yang begitu lama.

“Ketidakstabilan politik menyebabkan banyak perkara berlaku seperti tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun selain kos politik yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Pontian mengadakan lawatan ke Pusat Media PRN Melaka di Hotel Kobemas di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pengundi wajib memilih Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini kerana BN menawarkan kestabilan demi kemakmuran kepada rakyat Melaka.

“BN masuk PRN Melaka untuk mencapai kemenangan bagi memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, Jadi pilih kita kerana manfaat besar tersedia untuk rakyat merangkumi kestabilan demi kemakmuran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here