PRN Melaka: Calon Bebas Asahan ditawar ‘imbuhan’ untuk tarik diri

0
537
Mohd Akhir Ayob

CYBERJAYA – Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Mohd Akhir Ayob mendedahkan ada pihak yang menawarkan habuan ‘setimpal’ supaya beliau menarik diri dari bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Mohd Akhir yang merupakan salah seorang daripada enam calon yang bertanding di DUN itu berkata, tawaran berupa wang tunai itu dijanjikan kepadanya melalui satu panggilan daripada individu yang tidak dikenali, semalam.

“Semasa bertemu rakyat semalam, saya terima satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali yang menyatakan hasrat untuk bertemu.

“Saya bertanyakan tujuan dan dia meminta saya supaya tarik diri dari bertanding dengan satu ‘imbuhan’ yang puas hati,” katanya ketika dihubungi Malakat Tribune di sini hari ini.

Mohd. Akhir,50, berkata, dalam perbualan ringkas itu, individu berkenaan berjanji akan menghubunginya semula untuk membincangkan tawaran itu.

Beliau bagaimanapun berkata, dia tidak berhasrat untuk menerima tawaran itu kerana bertanding atas kepercayaan dan permintaan rakyat di Asahan.

“Orang yang menelefon saya itu ketika itu berada di kawasan berhampiran rumah saya. Saya minta dia jangan ganggu saya dan keluarga kerana saya tidak akan layan tawaran itu.

“Buat masa ini saya akan lebih berhati-hati,” kata anak jati Kampung Batang Melaka itu.

Bagi DUN Asahan, tiga calon bebas akan bertanding dalam pertarungan enam penjuru dalam PRN Melaka 20 pada November depan.

Barisan Nasional akan diwakili Fairul Nizam Roslan, Danesh Basil (Perikatan Nasional) dan Datuk Seri Idris Haron (Pakatan Harapan).

Sementara itu, Mohd Akhir yang merupakan bekas Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Alor Gajah berkata, keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini dibuat atas pemintaan wakil-wakil ketua kampung dan penduduk setempat.

“Dulu saya pegang Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), ada berbelas ketua kampung yang minta saya bertanding.

“Pemilihan itu mungkin dinilai daripada usaha saya menyelesaikan masalah penduduk selepas tarik diri daripada (Bersatu) dan tumpu kepada kerja-kerja semasa peralihan kerajaan lalu.

“Hasrat saya tidak lebih daripada untuk membolehkan rakyat memilih calon yang lebih dipercayai kerana mereka sudah bosan dengan rentak pemimpin yang mementingkan diri sendiri,” ujar bekas pesara Angkatan Tentera yang berkhidmat selama 22 tahun itu.

Sebagai jaminan kepada rakyat, beliau sebagai salah seorang calon bebas yang bernaung di bawah Gagasan Bebas akan menandatangani akuan bersumpah (SD).

Melalui akur janji itu katanya, mana-mana calon yang melompat parti secara automatik perlu mengosongkan kerusi ditandingi.

“Ini jaminan kami kepada rakyat untuk memberikan khidmat terbaik kepada mandat yang diberikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here