PRN Melaka: IMAN lancar ikrar 3 teras utama

0
42
Untuk PRN Melaka Parti IMAN buat pertama kali mempertaruhkan seorang calon di DUN Machap Jaya iaitu Abdul Aziz Osani Kasim

KUALA LUMPUR – Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini melancarkan ikrar dengan meletakkan tiga teras iaitu agama, pendidikan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sebagai keutamaan.

Presiden IMAN, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, teras utama iaitu keagamaan akan mengutamakan keperluan masjid dan surau di samping bantuan keperluan kelengkapan untuk rumah ibadat lain.

“Teras utama kedua adalah pendidikan bagi mengatasi masalah keciciran murid dengan menyasarkan kawasan Tebung dan seluruh Machap Jaya.

“IMAN juga akan memastikan peluang melanjutkan pengajian di bidang kemahiran dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain bantuan persekolahan kepada golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak

Mengulas lanjut katanya, teras utama ketiga adalah mewujudkan peluang pekerjaan di Machap Jaya serta mewujudkan eko-pelancongan bagi merancakkan ekonomi setempat.

“IMAN juga berikrar untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma bagi golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam PRN Melaka ini, IMAN meletakkan Abdul Aziz Osani Kasim sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Abdul Aziz, 52, yang merupakan anak tempatan Machap Jaya turut mempunyai kemahiran menguasai tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Tamil.

Ketua Cawangan IMAN Machap Baru itu lahir daripada keluarga peneroka termasuk pernah menjadi penoreh getah dan pengawal keselamatan sebuah pasar raya yang menjadi satu ‘bonus’ yang memudahkannya mendekati penduduk kebanyakannya adalah masyarakat kampung.

Abdul Aziz sebelum ini telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan pendidikan di DUN berkenaan khususnya Kampung Machap Baru dan Air Pasir.

Antaranya menubuhkan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ar Rayyan dan menyumbang pelbagai kemudahan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kampung Machap Baru.

Antara rancangan masa hadapan yang mahu dibawa Abdul Aziz adalah mewujudkan sebuah mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi kemudahan masyarakat khususnya warga emas melakukan urusan harian selain meningkatkan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here