PRN Melaka: Kehadiran Tun Khalil di hari terakhir kempen suntik semangat calon PH

0
54
Tun Mohd Khalil Yaakob berbual bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen terakhir PRN Melaka di sini hari ini

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) mendapat suntikan semangat di hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan kehadiran bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob bersama calon parti itu.

Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih bermakna apabila bekas Menteri Besar Pahang itu memberikan sokongan kepada semua calon PH yang bertanding dalam PRN kali ini.

“Bersama Tun Khalil Yaakob yang turun memberi dukungan kepada calon PH, saudara Shamsul Iskandar Md Akin di DUN Paya Rumput.

“Dukungan juga dinyatakan kepada semua calon PH yang bertanding pada PRU DUN Melaka. Harapan mesti menang,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Baru-baru ini, Mohd Khalil hadir memberikan sokongan kepada calon PH DUN Kuala Linggi, Julasapiyah Kassim.

PRN Melaka menyaksikan PH akan menentang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di semua 28 kerusi DUN.

PH akan mempertaruhkan calon DUN Bukit Katil, Adly Zahari sebagai ketua menteri jika PH kembali berkuasa, manakala BN akan mengekalkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali manakala PN meletakkan Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon wanita pertama sebagai ketua menteri.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here