PRN Melaka: Kompaun RM4,000 untuk program Najib dan RM20,000 untuk program Muhyiddin

0
253
Program yang dihadiri oleh Najib dan Muhyiddin di Melaka baru-baru ini

CYBERJAYA – Tiada aktiviti perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam dua program berasingan yang dihadiri dua bekas Perdana Menteri.

Program itu melibatkan kehadiran Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kementerian Kesihatan berkata, siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mendapati, aktiviti kedua-dua pemimpin itu lebih berbentuk ‘walkabout’ dan bukan perhimpunan.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua penganjur program tetap dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Ini berikutan kegagalan penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.

“Kompaun bernilai RM20,000 ditawarkan kepada PN Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Muhyiddin.

“Manakala satu lagi tawaran kompaun bernilai RM4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri Najib,” kata KKM dalam kenyataannya hari ini.

Pada 30 Okt lalu, Najib dilaporkan meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat ketika makan tengah hari di Jeti Kampung Hailam, Melaka.

Pada tarikh sama, Muhyiddin dilaporkan hadir di beberapa Program Gerai Prihatin Rakyat di Melaka.

Selain itu kata KKM, pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya menjelang PRN Melaka, akan terus dilaksanakan sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan Covid-19.

“KKM tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KKM menasihati agar masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here