PRN Melaka: Pengundi di SK Jeram dikesan positif Covid-19

0
19
Kertas undi yang digunakan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah pada Pilihanraya Negeri Melaka hari ini.

MELAKA- Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesahkan seorang pengundi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram di Alor Gajah, dikesan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi bin Abd Rahman berkata, individu terbabit disahkan positif Covid-19 selepas keputusan makmal swasta dikeluarkan pada Sabtu.

“Pada 20 November 2021, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah menerima notifikasi dari Covid-19 Assessment Centre (CAC) Melekek, terdapat seorang kes positif Covid-19 yang telah keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi di daerah Alor Gajah.

“Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr Rusdi, individu terbabit tidak menunjukkan sebarang gejala ketika mengundi.

Bagaimanapun katanya, tindakan segera telah diambil bagi memastikan tiada penularan wabak itu berlaku di pusat mengundi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah telah mengambil tindakan dengan mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.

“Disinfeksi ini telah dijalankan dengan kerjasama pihak bomba. Pihak SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baharu sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baharu,” katanya lagi.

Beliau turut memberitahu, pasukan pemantauan PKD Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi berkenaan untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur.

Dalam pada itu kata Dr Rusdi, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan PKD Alor Gajah. Sehubungan itu, saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka,” kata Dr Rusdi lagi.

Orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected] untuk maklumat lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here