
JASIN – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menyaksikan pertandingan enam penjuru selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebentar tadi di Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar di sini.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang kini mewakili Pakatan Harapan (PH) akan dicabar oleh pesara tentera yang juga bekas Ketua Penerangan PPBM Alor Gajah, Mohd Akhir Ayob, 50; Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan, 43, dan Danesh Basil, 29, (PN-GERAKAN).
Turut bertanding adalah, dua lagi calon Bebas iaitu Azmar Ab Hamid, 49, dengan logo kunci dan Mohd Noor Salleh, 43 (Bebas) berlogo pokok.
Pengumuman calon diumumkan Pegawai Pengurus SPR DUN Asahan, Luqman Nulhakim Mohamad Idris, pada pukul 10.50 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Asahan dimenangi calon BN, Datuk Abdul Ghafar Atan dengan majoriti 275 undian menewaskan calon PH, Zamzuri Arifin dan calon Pas, Azlan Maddin.-MT