PRN Melaka: PN dakwa bahan kempen jadi mangsa perbuatan khianat

0
88
Seorang petugas parti menunjukkan bendera dan poster calon PN yang dirosakkan

MELAKA – Perikatan Nasional (PN) mendakwa terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah merosakkan bahan kempen pilihan raya mereka termasuk poster, kain rentang dan tiang bendera.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya mengesan perbuatan khianat itu dilakukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, di sini.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Saya sudah mengarahkan jentera pilihan raya PN untuk menyiasat jika ada kerosakan di DUN lain.

“Jentera sedang memeriksa sekiranya kerosakan ini dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu laporan kepada pihak berkuasa akan dibuat jika pihaknya mendapati wujud unsur samseng pada kempen pilihan raya kali ini.

“Kita perlu berkempen dengan cara baik dan berhemah, jangan hingga merosakkan bahan kempen parti lain.

“Budaya samseng dan ekstrem perlu dihentikan serta-merta dan dipadam daripada landskap politik negara,” katanya.

Perang poster antara calon yang bertanding dan bendera parti mula kelihatan di sebahagian besar kawasan di 28 DUN di Melaka berbanding pada awal waktu kempen.

DUN Kota Laksamana mempunyai 28,777 pengundi, menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon PN, Fong Khai Ling, Low Chin Hong (Barisan Nasional) dan penyandang kerusi, Low Chee Leong (Pakatan Harapan).

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Chee Leong menang dengan majoriti 16,173 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here