PRN Melaka: Ramai yang tawar hati

0
70
Perang bendera sempena PRN Melaka yang akan diadakan esok.

ALOR GAJAH – Tinjauan pada hari terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mendapati ramai yang tawar hati untuk keluar menunaikan tanggunjawab itu esok.

Ramai berpendapat penganjuran pilihan raya kali ini tidak sepatutnya diadakan kerana negara masih lagi berperang dengan kes Covid-19 yang tinggi.

Selain faktor itu, semangat untuk keluar mengundi juga dilihat hambar selepas episod politik lompat parti oleh wakil rakyat yang hanya mementingkan periuk nasi sendiri.

Malakat Tribune menemui Rosidah Abd Rasid, 42, peniaga barang kraftangan di Simpang Ampat, yang secara jujur mengaku tidak berhasrat untuk keluar mengundi sebagai protes kepada calon.

Rosidah Abd Rasid ditemui di kedai kraftangan miliknya di Simpang Ampat, Melaka.

Beliau berkata, siapa pun yang akan memenangi pilihanraya kali ini tidak akan mengubah apa-apa bahkan hanya menambah derita rakyat.

“Kita sudah muak dengan pertelingkahan dan perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat ketika ini.

“Apa yang mereka tahu hanyalah untuk kekal berkuasa demi mengisi tembolok mereka,” katanya.

Rosidah berkata, lebih menyedihkan apabila pilihan raya tetap diadakan ketika rakyat baharu mahu pulih daripada kesan penularan pandemik.

Beliau yang pernah dijangkiti Covid-19 baru-baru ini berkata, ketika dia dan suami menjalani kuarantin, nasibnya sekeluarga tidak pernah dipedulikan wakil rakyat atau kerajaan.

Namun ujarnya, tinggal beberapa hari sebelum mengundi, semua wakil parti singgah ke gerai beliau untuk memancing undi.

“Nak kata apa, bila kita susah tak ada siapa yang peduli tapi bila nak mengundi, orang yang tak patut datang pun datang.

“Saya cakap terus terang, semua pun tak boleh harap. Bila nak undi baru cari rakyat.

“Mungkin orang atasan ada salurkan bantuan tapi yang kroni bawah-bawah ni masing-masing buat tak tahu,” katanya.

Nor Azhar Badri mengeluarkan hasil tangkapan hariannya di Kampung Padang Temu, Ayer Molek, Melaka.

Sementara itu, Nor Azhar Badri, 50, nelayan di Kampung Padang Temu turut menyuarakan kekecewaan yang sama dan mengakui ‘tiada masa’ untuk keluar memangkah undi esok.

“Nak undi siapa pun tak tahu. Undi siapa pun, nasib kami nelayan macam ini juga,” katanya.

Rasa berat hati itu katanya turut dinyatakan saudara mara yang tinggal di luar Melaka kerana mereka lebih mengutamakan kesihatan diri.

“Kawan-kawan saya di sini pun ramai yang tak nak mengundi sebab mereka tahu pemimpin kita semua gila kuasa,” tegasnya.

Nor Azhar ketika ditemui Malakat Tribune petang ini.

Paling mengecewakan kata Nor Azhar, nasib nelayan di Sungai Duyung yang hilang mata pencarian akibat projek tambakan pantai langsung tidak dipedulikan kerajaan.

“Kami hilang lebih separuh daripada pendapatan sebab hasil tangkapan dah berkurangan. Sekarang kami kena keluar jauh ke Merlimau untuk menangkap ikan.

“Itu pun pendapatan dahulu sekitar RM3,000 hingga RM4,000 dah berkurang kepada bawah RM1,000 sebulan.

“Jadi mana tanggungjawab pemimpin pada kami yang tersepit di sini. Bila buat aduan semua tak muncul.

“Bantuan yang sampai pun terlalu sedikit. Memang kami terkilan,” katanya.

Azmi Othman

Seorang lagi nelayan, Azmi Othman, 47, berkata hatinya masih berbelah untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi kali ini.

“Pilihanraya kali ini tak sama macam sebelum ini. Tak ada lagi keghairahan untuk memilih pemimpin sebab nampak semuanya sama sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here