PRN Melaka: RTM bantu siar bahan kempen semua calon bermula hari ini

0
50
Gambar Arkeb sewaktu penamaan calon DUN Tanjung Bidara Isnin lalu

ALOR GAJAH – Kerajaan akan membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan poster dan biodata semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, penyiaran poster dan biodata calon itu akan dialu-alukan sekerap mungkin, adil dan saksama berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada PRN berkenaan.

“Mengambil kira kesulitan kempen dan pengundi yang kurang mengenali calon-calon yang bertanding di kawasan masing-masing, maka kita (kerajaan) bersetuju supaya RTM menambah kekerapan menyiarkan biodata-biodata dan potret-potret calon yang bertanding mulai esok,” katanya memetik laporan Bernama.

Annuar berkata, kerajaan juga meminta agar RTM merangka slot masa bersesuaian untuk menyiarkan bahan kempen itu tanpa mengganggu program yang dirangka agensi berkenaan sebelum ini.

RTM juga, katanya, telah diarahkan untuk menghubungi setiap calon bagi membekalkan bahan kempen, namun dengan syarat ia tidak boleh menimbulkan sebarang polemik ataupun kontroversi.

“Jadi, RTM sedang buat persiapan termasuk (penyiaran) ketika waktu perdana supaya usaha untuk memperkenalkan calon yang bertanding secara adil dan saksama akan boleh dilakukan mulai esok (hari ini) hingga Jumaat depan, iaitu sehari sebelum mengundi.

“Saya harap ada ruang yang cukup untuk membolehkan usaha itu dilakukan,” katanya.

Rabu lalu, Annuar dilaporkan berkata, kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka, termasuk daripada pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan berikutan kesukaran dialami semua parti politik, terutama calon baharu untuk berkempen dalam suasana norma baharu.

Bagi PRN Melaka, calon dan jentera pilihan raya dilarang menganjurkan ceramah, syarahan, kempen fizikal dan ziarah rumah ke rumah, aktiviti secara walkabout dan pengedaran risalah kempen kepada orang awam secara bersemuka, manakala kenderaan dipasang alat pembesar suara dilarang berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here