[VIDEO] PRN Melaka: Sulaiman yakin kesedaran rakyat keluar mengundi tinggi

0
12
Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di SK Durian Daun pagi tadi.

MELAKA- Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yakin kesedaran rakyat Melaka untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini amat tinggi.

Sulaiman berkata, pemerhatiannya pada pagi ini menunjukkan ramai pengundi keluar awal untuk menunaikan tangungjawab masing-masing dan prosesnya juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sulaiman harap pengundi ikut SOP ketika mengundi

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga memberikan kerjasama yang baik kepada pengundi sekaligus memudahkan urusan dan proses untuk membuang undi pada pagi ini di SK Durian Daun (K).

“Pagi ini, saya mengundi di sekolah saya sendiri dari darjah satu sampai enam. Kelas itu kelas saya masa darjah tiga juga, kebetulan saya juga calon nombor tiga di DUN Lendu.

“Pada pagi ini cuaca agak mendung, pengundi boleh ambil kesempatan. Saya melihat proses pada pagi ini berjalan lancar, saya yakin kesedaran untuk keluar mengundi amat tinggi,” katanya.

Terdahulu, Sulaiman selesai membuang bagi PRN Melaka di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), kira-kira jam 8.58 pagi tadi.

Terdahulu beliau yang juga calon Ketua Menteri bagi BN hadir bersama isteri, Datin Seri Munira M Yusop dengan berbusana sedondon berwarna biru tiba di pusat mengundi yang juga sekolah lamanya itu kira-kira jam 8.40 pagi.

Pada PRN kali ini, Sulaiman berdepan pertembungan tiga penjuru, beliau dicabar Mejar (B) Abdullah Mahadi dari Perikatan Nasional (PN) dan Asri Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH).

Mengenai peluangnya di DUN Lendu, Sulaiman berkata, kawasan berkenaan merupakan tempat kelahirannya dan rata-rata pengundi ada orang beliau kenal.

“Insyaallah…sebab kalau lihat semua saluran tiga ini semua orang yang saya kenal, sebab itu bila saya berjalan menuju pusat undi ramai yang jumpa saya. Takut juga orang ingat saya berkempen,” katanya.

Dalam itu, Sulaiman sekali lagi mengingatkan agar rakyat Melaka keluar mengundi pada hari ini kerana PRN kali ini merupakan peluang untuk memilih kerajaan negeri yang kukuh dan stabil.

“Hari ini kita turun mengundi ramai-ramai untuk pilih kerajaan, bukan nak pilih calon. Jadi, saya mohon semua pengundi keluar mengundi. Sudah pasti, kerajaan kita pilih mestilah stabil, kukul dan boleh menjamin masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here