PRN Melaka: Tiada faktor ‘wow’, PN berisiko kalah teruk

0
221
Bendera Perikatan Nasional

CYBERJAYA – Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sangat tipis dan berisiko kalah teruk kecuali jika parti tersebut berjaya mencipta faktor ‘wow’ dalam tempoh tiga hari baki berkempen.

Menurut Pensyarah Komunikasi Politik, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim, antara strategi yang boleh dilakukan oleh PN bagi menambat hati pengundi adalah dengan mengumumkan nama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri.

“Sejak DUN Melaka dibubarkan sehingga semalam, kami masih belum menemui sebarang petunjuk bahawa PN berpotensi untuk memenangi PRN ini sekaligus berpeluang membentuk kerajaan.

“Bahkan ada sedikit indikator yang menunjukkan jika senario tidak banyak berubah dalam tempoh kempen tiga hari berbaki ini, PN berisiko menerima tamparan yang agak menyakitkan Sabtu ini.

“Sehingga kini kempen PN masih belum berjaya mencipta faktor wow dalam kalangan pengundi yang memungkin mereka jadi pilihan berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Namun tempoh kempen masih berbaki, PN masih mempunyai cukup masa untuk mengubah tempo kempen sekaligus mencipta faktor wow yang dimaksudkan.

Menyertai PRN Melaka sebagai underdog, pada pandangan saya adalah nothing to lose kepada PN untuk membuat eksperimen politik bagi menarik sokongan pengundi.

“Barangkali antara yang boleh dilakukan adalah mengumumkan segera Mas Ermieyati sebagai calon KM jika itu memang ada dalam perancangan PN,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim

Mengulas lanjut, beliau berkata, komposisi pengundi wanita yang melebihi lelaki di Melaka boleh berpotensi menarik perhatian pengundi gender tersebut memberi undi kepada PN sekiranya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dicalonkan sebagai ketua menteri.

Pada masa sama, katanya, pengumuman tersebut juga berpotensi meningkatkan peluang Mas Ermieyati menyaingi calon BN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di kerusi tersebut.

“Lagipun pengundi di Melaka mempamerkan tingkah laku agak terbuka dalam pola pengundian, agak berbaloi untuk PN mengambil risiko mengumumkan Mas sebagai ketua menteri untuk mencetus momentum baru.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin

“Memang betul penerimaan pengundi terhadap Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) agak baik di Melaka, petunjuk itu memang ada di lapangan sepanjang tempoh kempen.

“Mungkin atas informasi inilah PN menggunakan sepenuhnya imej Tan Sri Muhyiddin sebagai bahan kempen, poster beliau dipamerkan secara meluas khususnya di kawasan pengundi Melayu.

“Namun sehingga kini belum ada sebarang indikator yang menunjukkan penerimaan baik terhadap Muhyiddin akan diterjemahkan ke dalam kotak undi pada 20 November nanti,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here