PRN Melaka: Umpama Cristiano Ronaldo, populariti Adly seorang tidak mampu jamin kemenangan PH

0
32
Adly Zahari

CYBERJAYA – Parti Pakatan Harapan (PH) berisiko hilang banyak kerusi terutamanya di kawasan bercampur yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sekiranya pengundi daripada kaum Cina yang tinggal di luar Melaka memilih untuk tidak pulang pada hari pengundian Sabtu ini.

Menurut Pensyarah Komunikasi Politik, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim, sekiranya kadar keluar mengundi rendah, Barisan Nasional (BN) akan mempunyai kelebihan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Jika pengundi luar memilih untuk tidak pulang sama ada disebabkan bimbang penularan Covid-19, kecewa terhadap situasi politik semasa atau apa sahaja alasan, PH akan paling terkesan berbanding BN.

“Rata-rata pengundi etnik Cina yang ditemui majoritinya masih cenderung kepada PH walaupun jumlahnya tidak semaksimum yang diberi dalam PRU14 lalu.

“Namun menjelang pembuangan undi Sabtu ini, pemilih etnik Cina masih bersikap agak dingin terhadap PRN kali ini, tidak cukup bermotivasi untuk keluar mengundi disebabkan pelbagai faktor.

“Jika kadar keluar mengundi dalam kalangan etnik Cina merosot teruk, sekali lagi PH akan paling terkesan berbanding BN, bahkan PH berisiko hilang kerusi di kawasan bercampur yang dimenangi sebelumnya,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Mohd. Yusri berkata, berdasarkan tinjauan pihaknya di lapangan sejak DUN Melaka dibubarkan, pihaknya sukar bertemu dengan pemilih yang mengundi PH dalam PRU 2018 berbanding pemilih yang mengundi BN.

Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim

Katanya, situasi itu memberi bayangan awal bahawa ramai pengundi PH dalam PRU14 berada di luar kawasan, manakala majoriti pengundi BN adalah pengundi teras akar umbi yang menetap di Melaka.

Dalam masa sama, katanya, terdapat banyak indikator yang menunjukkan pengundi yang berada di luar kawasan tidak cukup ghairah untuk balik mengundi dalam PRN kali ini.

“Madar keluar mengundi Sabtu ini bakal memberi implikasi besar terhadap keputusan yang akan diumumkan pada malamnya.

“BN bakal mempunyai kelebihan jika kadar keluar mengundi rendah kerana pengundi teras mereka iaitu pemilih etnik Melayu yang menetap dalam kawasan telah menunjukkan komitmen untuk keluar mengundi manakala PH akan bermasalah besar kerana pengundi luar dan etnik Cina yang berpotensi tidak membuang undi itu adalah undi tangkungan mereka sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu menyentuh mengenai populariti bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dalam kalangan penduduk Melaka, katanya, faktor itu sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan PH dalam PRN Melaka.

“PH memerlukan faktor penentu tambahan untuk menterjemah penerimaan tersebut ke dalam kotak undi yang berpotensi untuk mereka keluar sebagai pemenang, bukan sekadar popular tetapi berakhir dengan kehampaan.

“Cristiano Ronaldo yang mengetuai jentera serangan Manchester United juga sangat popular di dalam dan luar padang, namun populariti itu tidak cukup membantu sehingga mereka dibelasah 0-5 di laman sendiri bulan lalu oleh team serba sempurna Liverpool,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here