PRN Sarawak pada 18 Disember depan, libatkan peruntukan RM150 juta- SPR

0
11
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh

KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember dan hari pengundian awal pada 14 Disember.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember, iaitu hari Isnin, sehingga jam 11.59 malam 17 Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum DUN Sarawak.

Pada 3 November lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November dan ia memberi laluan kepada PRN-12 Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Menurut Abdul Ghani, seramai 1.26 juta individu layak mengundi pada PRN Sarawak ke-12 berdasarkan senarai pengundi pengundi yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu.

“Ia terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.

“Sebanyak 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here