Projek PPR terbengkalai di Klebang Kecil akan dibangunkan semula

0
88
Datuk Lim Ban Hong ketika menerima watikah pelantikan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

MELAKA- Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Klebang Kecil yang terbengkalai akan diberikan perhatian oleh Datuk Lim Ban Hong sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, itu ternyata kecewa apabila projek yang sepatutnya siap pada 2018 terbengkalai sehingga hari ini.

“Saya bawa masuk projek ini pada 2016 dan ia sepatutnya boleh disiapkan pada hujung 2018 tetapi saya difahamkan oleh penduduk setempat projek ini tergendala sehingga kini.

“Ini merupakan PPR fasa pertama di Klebang yang mana kita ada 255 unit rumah dan ikut perancangan akan ada fasa kedua dan ketiga lagi di Klebang yang akan kita bangunkan PPR bagi membantu rakyat mendapatkan rumah.

“Jadi, jika kita diberi mandat saya memberi jaminan akan memperjuangkan perkara ini termasuk berjumpa dengan pihak berkaitan seperti kementerian, kerajaan negeri dan pemaju sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak PPR Klebang Kecil, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ban Hong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, selain PPR, beliau juga akan memperjuangkan lebih banyak rumah mampu milik di Klebang.

Katanya, projek perumahan mesra rakyat seperti PPR dan RMM sangat penting bagi membantu orang muda dan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here