PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat

0
47
MOHAMAD HASAN

CYBERJAYA – Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat yang dilihat memihak kepada Bariaan Nasional (BN).

Pandangan itu disuarakan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan setelah BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lepas.

Mohamad berkata, pandangan itu telahpun disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

“Saya cakap dengan beliau (Perdana Menteri) kelmarin (Sabtu), kita perlu pertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum. Suka atau tidak, PRU bulan Julai, sebab perjanjian persefahaman kerajaan dan pembangkang sampai bulan Julai. Dinamik politik tidak statik dan boleh berubah setiap hari. Jadi, terpulang kepada BN dan UMNO untuk membuat ulang kaji mengenai apa yang terbaik boleh dilakukan. Sama ada perlu untuk PRU15 diadakan dalam waktu terdekat atau tunggu sehingga habis penggal mesti difikirkan secara mendalam.

“Namun jika tanya saya, saya mahu PRU15 diadakan esok. ‘The feel good factor’ (faktor baik) ada di sini (PRN Melaka) kerana masih lagi segar dengan kemenangan dan mandat yang diberi oleh rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di Seremban, semalam.

Kata portal Sinar Harian, mengenai kemenangan BN di PRN Melaka, Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata, ia merupakan keputusan daripada rakyat Melaka yang jelas memberikan isyarat bahawa mereka mahukan kerajaan yang stabil, kesejahteraan, kemakmuran kepada negara dan negeri.

“Itu isyarat yang boleh saya baca. Syukur di atas kemenangan tersebut tetapi ini satu amanah yang besar diberikan kepada BN agar kerajaan negeri Melaka yang baharu ini mengurus tadbir Melaka dengan baik kerana ia harapan orang (rakyat).

“Rakyat sudah tertekan dengan berbagai-bagai tekanan seperti keadaan politik tidak menentu, tambahan pula jangkitan Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang kerja, hilang pendapatan serta hilang ahli keluarga. Maka, kemenangan yang begitu besar diberikan oleh rakyat Melaka itu perlu diterjemahkan kepada tanggungjawab dan amanah yang besar kepada kami (BN),” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here