‘Rakyat bukannya bodoh’

0
72
Kalsom (kanan) ketika melakukan tinjauan di sebuah tapak pasar malam di Ayer Keroh.

MELAKA – Rakyat sudah serik dipermainkan dan mereka tidak mahu lagi dijadikan kambing hitam semata-mata untuk memberi kedudukan selesa kepada politikus yang menjadikan lompat parti sebagai ‘norma baharu’.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, rakyat bukannya bodoh, mereka mendengar, melihat dan membaca.

“Mereka dah jelak dengan isu-isu sebegini. Apa yang kita harapkan kestabilan politik demi kemakmuran. Rakyat memerlukan kestabilan,” katanya.

Datuk Kalsom yang lebih dikenali dalam kalangan pengundi sebagai Kak Som berkata, isu lompat parti merupakan antara rungutan yang diterimanya ketika melakukan walkabout bertemu pengundi.

Katanya lagi, rakyat terutamanya kaum bukan Melayu tidak suka dengan sikap pelaku-pelaku pemimpin atasan hingga menimbulkan rasa kurang percaya dengan apa yang disampaikan ketika berkempen.

“Kita ni orang Melayu, kita jugalah pemimpin yang diharap-harapkan,” katanya yang merasa hairan dengan perlakuan seperti itu terutama dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Tambah beliau, apa yang berlaku menunjukkan rakyat tidak kira peringkat usia peka dengan keadaan politik semasa dan mereka tidak mahu pengorbanan mereka dalam memilih orang yang boleh membela nasib rakyat dipersia-siakan.

Beliau akan berdepan dengan dengan empat pencabar iaitu Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Putra) di DUN Pengkalan Batu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here