Rangkaian 3G tamat hujung tahun ini

0
10
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Rangkaian 3G di negara ini akan ditamatkan sepenuhnya pada akhir tahun ini seiring dengan inisiatif meningkatkan liputan jalur lebar berkualiti tinggi melalui inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Berikutan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
mengingatkan pengguna alat berteknologi 3G agar supaya beralih ke rangkaian 4G sebelum penamatan rangkaian itu pada 31 Disember ini.

MCMC berkata, penamatan secara berkala itu bagi mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G.

“Pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G, bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

“Ini bertujuan mengguna semula spektrum yang sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih baik dan menarik kepada pelanggan dan isi rumah,” menurut satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut MCMC, peningkatan kualiti yang akan dapat dilihat merangkumi kelajuan data, latensi rendah dan kestabilan rangkaian.

“Hasilnya, pelanggan akan dapat melayari Internet, menstrim video dan menikmati lain-lain perkhidmatan dalam talian dengan lebih baik dan lancar.

“Setakat 30 September 2021, sebanyak 94.03 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G, dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat,” katanya.

MCMC menggesa orang ramai dan syarikat-syarikat memanfaatkan inisiatif-inisiatif kerajaan bagi membantu peralihan ke rangkaian 4G dengan baik sekali gus menikmati kesaling hubungan jalur lebar yang lebih baik dan lancar.

“Antara inisiatif tersebut adalah Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Program Jaringan Prihatin yang membolehkan warganegara Malaysia memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih terpilih yang bertaraf 4G VoLTE ataupun membeli pakej perkhidmatan data internet yang telah disubsidi oleh kerajaan dan penyedia perkhidmatan.

“Pengguna digalakkan merujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing untuk maklumat lebih lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here