Rasmi: BN menang bergaya di Melaka

0
76
Pengundi menunggu giliran semasa membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah pada Pilihanraya Negeri Melaka hari ini.

AYER KEROH – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memihak kepada Barisan Nasional (BN) apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Keputusan rasmi PRN Melaka diumumkan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebentar tadi dalam sidang media di Menara Persekutuan, di sini.

Kemenangan selesa BN itu menyaksikan parti itu berjaya membentuk kerajaan baharu dengan majoriti dua pertiga.

Dalam pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 2 kerusi manakala calon daripada parti bebas tidak memenangi mana-mana kerusi.

Abdul Ghani berkata, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) juga tidak memenangi kerusi yang ditandingi.

“Pilihan raya DUN (Dewan Undangan Negeri) Melaka kali ini juga menyaksikan seramai 326,068 pengundi telah keluar mengundi.

“Secara keseluruhan, SPR berpuas hati dengan proses pengundian hari ini dan para pengundi telah dapat menunaikan hak mereka,” katanya pada sidang media di Menara Persekutuan, di sini, malam ini.

BN menang di DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

PH pula menang di Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN menang di Sungai Udang dan Bemban.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here