Rauf nafi jadi dalang mahu rampas kerusi KM Melaka

0
443
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan menjadi dalang untuk menjatuhkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang dilantik semula sebagai Ketua Menteri Melaka awal pagi tadi sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penegasan itu dibuat beliau dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri Sulaiman dan semua Ketua Bahagian UMNO negeri sebentar tadi.

“Untuk makluman kami tiada masalah dan kemelut selepas kita bersama-sama mendapat kerajaan yang stabil. Saya menolak khabar angin tentang kemelut antara kami dengan ketua menteri sedia ada.

“Saya bersama semua ketua bahagian memberikan sokongan penuh kepada Sulaiman sebagai ketua menteri termasuk saya sebagai pengerusi bahagian akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk urus kerajaan negeri selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman menjelaskan langkah beliau mengangkat sumpah pada waktu awal pagi kerana perlu menghadiri pelbagai acara penting bermula hari ini.

Langkah Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri awal pagi tadi telah mencetuskan pertanyaan banyak pihak

“Saya angkat sumpah awal sebab esok saya ada pre council mesyuarat raja-raja, Isnin saya ada mesyuarat di istana kemudian mesyuarat menteri besar dan ketua menteri. Rabu pula ada majlis raja-raja dan kemudian pembentangan Belanjawan 2022.

“Kemudiannya pula melibatkan pembentukan exco, jadi tidak ada salahnya (angkat sumpah) dan saya boleh buat kerja lebih awal,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai calon yang akan mengisi exco kerajaan negeri, katanya, beliau akan membuat pemilihan berdasarkan kelayakan dan tahap pendidikan yang sesuai dengan portfolio masing-masing.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here