Richiamo Coffee perkasakan golongan OKU UiTM

0
41
Muhammad Zamry (kanan) bertukar dokumen MoU dengan Prof Ts Dr Roziah sambil disaksikan oleh Ras Adiba di sini hari ini.

CYBERJAYA – Richiamo Coffee Sdn Bhd., melaksanakan tanggungjawab social korporatnya (CSR) melalui kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian terbabit.

Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, inisiatif CSR yang dikenali sebagai Projek Keusahawanan Sosial direalisasikan dengan pembukaan tiga kafe Richiamo Coffee di Kampus UiTM.

Katanya, melalui kerjasama itu, maka wujudlah pertukaran MOU yang diterjemahkan melalui tanggungjawab, komitmen dan kepedulian UiTM dan pihak industri terhadap komuniti kurang bernasib baik terutamanya warga OKU.

“Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di institusi pengajian tinggi di negara ini untuk golongan OKU di mana kami membuka tiga cawangan Richiamo Coffee dibuka dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO) sebagai rakan strategik rasmi,” katanya di sini hari ini.

Tiga cawangan yang telah dan akan dibuka di Kampus UiTM ialah Attijarah UiTM Puncak Alam (dibuka pada 1 Oktober 2021), Lobi Pejabat Rektor UiTM Puncak Alam (dalam proses pembukaan jangkaan Disember 2021) dan di Canseleri Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam (dalam proses pembukaan – jangkaan Disember 2021).

Menurut Muhammad Zamry, pihaknya telah berbincang dengan UPO dan bersetuju untuk menyediakan 40 peratus pekerja sepenuh masa atau separuh masa adalah OKU dan B40.

Sebagai permulaan katanya, sehingga 30 October 2021, tiga OKU sedang bekerja di Richiamo Coffee, Attijarah UiTM Puncak Alam.

Beliau menambah, modul latihan telah diwujudkan oleh UPO UiTM bagi mempersiapkan pekerja-pekerja bukan OKU menerima rakan OKU bekerja di bawah satu bumbung.

“Sebagai menyokong langkah ini, Richiamo Coffe juga bersetuju untuk menyumbang sejumlah peratus keuntungan dari ketiga-tiga cawangan di Kampus UiTM itu disumbangkan ke Tabung Cakna OKU UiTM bagi kemampanan tabung untuk tujuan pemerkasaan dan kebajikan OKU di UiTM,” ujarnya.

Selain itu, latihan percuma kepada para pekerja OKU dan B40 turut diberikan di semua cawangan di Kampus UiTM itu selain berpeluang untuk mengembangkan lagi karier di seluruh cawangan Richiamo Coffee di seluruh negara.

Malah jika kerjasama ini berjaya ia boleh membuka peluang melalui latihan keusahawan mahasiswa OKU UiTM sebagai pengusaha dan pemilik Richiamo Coffee di masa depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here