RM80 juta diperuntuk untuk pembayaran elaun JKKK di Sarawak- Mahdzir

0
10
Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Abang Openg melakukan simbolik perasmian bekalan air luar bandar di sini hari ini

MIRI – Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM80 juta setahun bagi pembayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sarawak.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jemaah Kabinet pada 19 November lalu memutuskan elaun Setiausaha JKKK, elaun pengendalian mesyuarat dan elaun kehadiran mesyuarat JKKK di Sarawak dibayar oleh kerajaan persekutuan.

“Suka saya maklumkan bahawa elaun bagi Pengerusi JKKK Sarawak sudah dibayar dan atas persetujuan kerajaan Sarawak juga, elaun bagi Setiausaha JKKK Sarawak dan elaun mesyuarat JKKK akan dibayar tidak lama lagi.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah peruntukan elaun tahunan itu adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Marudi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Abang Openg di sini hari ini.

Mahdzir berkata, pembayaran bagi ketiga-tiga elaun tersebut yang sebelum ini menggunakan peruntukan Sarawak, dilihat dapat memantapkan lagi jentera pentadbiran JKKK diperingkat akar umbi.

Selain itu, katanya, ia akan dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri khususnya dalam pelaksanaan program pembangunan luar bandar yang melibatkan peranan institusi JKKK.

“Ini adalah sebagai tambahan kepada elaun Pengerusi JKKK Sarawak yang telah disediakan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini sebanyak RM35.8 juta setahun.” katanya.

Kerajaan persekutuan menurut Mahdzir, menyediakan peruntukan lebih RM213 juta bagi pembayaran elaun untuk 15,434 JKKK dan JPKKP di seluruh negara setiap tahun.

Pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula kata beliau, melihat peranan JKKK dan JPKKP adalah amat penting terutamanya dalam situasi negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Justeru tegas Mahdzir, JKKK dan JPKKP bukan sahaja berperanan sebagai ejen penyampai maklumat terkini daripada pihak kerajaan kepada komuniti setempat malah turut terlibat sebagai pelaksana pelbagai program pemerkasaan komuniti yang dianjurkan oleh kerajaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here