Satu kes positif dikesan pada hari pertama VTL Malaysia-Singapura

0
48
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Pihak berkuasa negara mengesan satu kes positif Covid-19 di pintu masuk Malaysia pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, maklumat itu diterima pagi tadi daripada pintu masuk antarabangsa Tambak Johor

Kataya, kes positif itu dikesan hasil ujian RTK-Antigen ketika saringan semasa ketibaan.

“Perkara ini sedang disemak melalui ujian pengesahan secara RT-PCR.

“Kita hendak uji melalui RT-PCR bagi mengesahkan keputusan ujian yang dibuat melalui RTK-Antigen,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Petugas Covid-19 Institut Kesihatan Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Khairy Jamaludin, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru kini sedang membuat penilaian risiko terhadap penumpang bas yang bersama individu dikesan positif tersebut, sama ada mereka diperlukan menjalani kuarantin dan sebagainya.

“Walaupun ada satu kes saya tidak menganggap ini sebagai satu yang boleh menggagalkan VTL ini sebaliknya adalah satu contoh bagaimana ujian saringan pra-ketibaan dan saringan semasa ketibaan serta semua adalah langkah pencegahan perlu kita adakan. Bukan bermaksud kita kena batalkan VTL kerana satu kes (positif).

“Akan ada kes-kes positif, tapi yang penting adalah dari segi keupayaan dan keperluan diagnosis kita serta penilaian risiko yang dibuat PKD apabila kes seperti ini berlaku,” katanya.

Khairy berkata hari ini adalah hari penting kepada Malaysia dan Singapura, jiran paling hampir kepada kedua-dua negara untuk membuka sempadan dengan selamat.

“Petang nanti apabila kita dah ada maklumat lanjut, kita akan keluarkan kenyataan mengenai status VTL yang bermula hari ini,” tambahnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here