Sekat ‘katak melompat’, BN akan usul pindaan perkenal Enakmen Anti-Lompat Parti

0
34

MELAKA – Parti Barisan Nasional (BN) akan mengusulkan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka bagi memperkenalkan Enakmen Anti-Lompat Parti sekiranya berjaya menawan Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 Nov ini.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun perkara itu sukar dilaksanakan kerana bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia untuk memilih, namun katanya, cadangan itu pasti mendapat sokongan pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini tegas membantah aktiviti lompat parti.

Beliau yakin pembangkang terutamanya PH tidak akan membantah kerana jika mereka tidak menyokong, ia pasti akan memakan diri mereka semula.

“Tetapi sekarang ada pula satu perumpamaan apa yang dipanggil katak berprinsip, tak tahulah saya siapa ibu katak, siapa anak katak janji mereka bahagia,” tambahnya.

Menurut Mohamad lagi, menerusi pindaan itu, pengundi di DUN berkenaan boleh melakukan petisyen atau bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya supaya pilihan raya dapat diadakan semula.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Diskusi Perdana BN bertajuk ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’, malam tadi.

Sementara itu, calon BN yang menang pada PRN Melaka perlu membayar jutaan ringgit sebagai denda sekiranya mereka melompat parti.

Mohamad Hasan menegaskan, langkah itu dibuat sebagai usaha mengelak sejarah lompat parti berulang hingga menyebabkan Kerajaan Negeri Melaka pimpinan UMNO tersungkur kembali.

“BN dah pagar elok-elok. Sebab bukan sikit dia kena bayar, banyak juta dia kena bayar. Ini pagar rusa, bukan pagar itik yang kalau dia langgar melantun balik. Tak tahulah kalau dia kebal, langgar pagar elektrik.

“Saya tak nak cakap berapa (jumlah denda) tetapi terpulang kepada mahkamah untuk tentukan tetapi kita dah tetapkan satu jumlah yang banyak, yang memang dia tak payah fikir banyak lagi sebab tak mampu nak bayar, melainkan ada orang kaya nak beli dia macam Bill Gates ke nak suruh masuk parti dia,” kata lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here