Selangor peruntuk RM40 juta atasi banjir

0
11
Keadaan banjir kilat akibat kepesatan pembangunan yang tidak dirancang dengan baik.

CYBERJAYA – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM40 juta bagi kerja-kerja pembaikan segera untuk mengatasi masalah banjir di 50 titik panas di seluruh negeri.

Exco Infrastruktur, Ir. Izham Hashim berkata, peruntukan itu membabitkan RM25.7 juta bagi kerja mengorek dan mendalamkan sungai dan kola, membina dan menaik taraf ban, memasang pam baharu dan meroboh struktur haram dalam rizab sungai.

Selain itu, sebanyak RM4 juta akan disalurkan untuk pembinaan kolam takungan Bluewater di Seri Kembangan dan RM10 juta untuk pembinaan kolam takungan banjir di Lebuhraya Grand Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja.

“Tindakan segera ini bertujuan mengurangkan kekerapan dan kesan banjir terhadap penduduk di kawasan terlibat sehingga terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda.

“Pelaksanaan kerja bermula Disember ini dan dijangka siap secara berperingkat sehingga April tahun depan,”katanya memetik laporan Selangorkini hari ini.

Menurutnya kawasan titik panas banjir antaranya sekitar Seksyen 13 (Shah Alam), Taman Meru Daya (Klang), Kampung Ginching, Kampung Salak Tinggi (Sepang) dan Selayang Baru (Gombak).

Jelas beliau banjir berlaku disebabkan jumlah taburan hujan yang tinggi melebihi 65 milimeter dalam tempoh singkat selain sistem saliran dan sungai yang tidak mampu menampung kapasiti aliran.

Ir. Izham Hashim

“Kepesatan pembangunan juga menjadi faktor banjir kerap berlaku serta halangan struktur bangunan haram yang berada dalam rizab sungai juga memberi kesan terhadap kelancaran aliran air.

“Kita harap dengan tindakan segera ini mampu menangani kejadian banjir di kawasan berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here