Selepas Hamzah, Anwar pula ‘komplen’ SOP PRN Melaka

0
33
Anwar Ibrahim bertemu orang ramai semasa kunjungannya ke Melaka baru-baru ini. Foto FB Anwar Ibrahim

KOTA MELAKA – Seorang demi seorang pemimpin parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyuarakan rasa ‘kurang senang’ terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dianggap terlalu ketat.

Selepas gesaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencari kaedah untuk memberi ruang kepada calon-calon berkempen, luahan yang sama pula disuarakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SOP yang ketat menyebabkan calon tidak dapat berkempen untuk meraih kepercayaan rakyat sekaligus menjadikan pilihraya di Melaka hambar.

Katanya, kekangan itu bukan hanya dihadapi PH sebaliknya semua parti bertanding dan ramai yang telah meluahkan perkara yang sama.

“Memang semuanya merungut, saya tengok BN (Barisan Nasional), Perikatan Nasional (PN) dan PH (Pakatan Harapan) kesemua tidak setuju,”katanya selepas Pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan, di Jalan Hang Tuah, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Mohamad Sabu, seperti juga Hamzah mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam PRN Melaka supaya patuh kepada SOP ditetapkan.

“Malaysia jadi negara paling pelik. Pilihan raya tetapi tidak boleh berceramah.

“Pergi kedai ikan bakar penuh orang boleh tetapi nak ceramah depan lima orang tidak boleh,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada Isnin memaklumkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka.

Bagi aktiviti pengedaran risalah, jumlah mereka yang dibenarkan terlibat dihadkan tidak melebihi daripada tiga orang dan bagi tujuan berkempen, calon digalakkan menggunakan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, WhatsApp dan lain-lain aplikasi menyampaikan kempen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here