Sindiket penipuan makin kreatif gunakan media sosial

0
41
ACRYL SANI

CYBERJAYA – Kes penipuan dalam talian didapati meningkat sebanyak 60 peratus sepanjang 10 tahun ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, peningkatan ini adalah disebabkan kumpulan sindiket semakin kreatif dan mengambil kesempatan daripada perkembangan teknologi canggih termasuk media sosial.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dilihat semakin kreatif menjalankan pelbagai modus operandi untuk menjerat mangsa hingga mereka mengalami kerugian besar membabitkan ratusan ribu ringgit.

“Ada individu di luar sana yang menjadi mangsa sindiket penipuan namun tidak membuat laporan polis kerana merasakan jumlah kerugian yang dialami adalah kecil,” katanya.

Acryl Sani berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menambah, maklumat daripada laporan polis yang dibuat dalam setiap kes adalah penting untuk mengemas kini data laman Semak Mule bagi mengenal pasti sama ada akaun bank terlibat tulen atau tidak.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, jenayah penipuan dalam talian merekodkan peningkatan ketara apabila merekodkan 17,537 kes dengan nilai kerugian RM449.5 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas.

Beliau menambah, jumlah itu meningkat berbanding jumlah kes direkodkan sebanyak 17,111 kes membabitkan kerugian RM510 juta sepanjang tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here