Syarikat China berminat jadikan Melaka pusat pemasangan EV

0
288

MELAKA – Beberapa syarikat dari China dilaporkan berminat untuk menjadikan Melaka sebagai pusat industri pemasangan kereta elektrik (EV).

Portal Utusan Online melaporkan, cadangan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau menambah, cadangan berkenaan sedang dibincangkan dan diteliti sebelum diputuskan dalam masa terdekat.

“Mereka turut mencadangkan EV ini dijenamakan sebagai EV pertama kebangsaan. Jadi saya sedang meneliti cadangan berkenaan.

“Saya akan melihat dengan lebih terperinci kawasan-kawasan industri yang sesuai dengan industri pemasangan EV yang pertama di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Datuk Azmi Hussain.

Katanya lagi, kehadiran industri pemasangan EV di Melaka turut membawa masuk teknologi-teknologi baharu.

Ab. Rauf kemudiannya berkata, Melaka akan memberi keutamaan kepada industri automotif yang disifatkan sebagai salah satu industri terbesar dalam negeri ini.

Jelasnya, ia telah dibuktikan menerusi penglibatan syarikat Honda yang berjaya meletakkan Melaka sebagai antara negeri yang terlibat dengan bidang pemasangan automotif.

Sementara itu, Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri turut mahu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini untuk meneroka bidang aeroangkasa dan industri minyak dan gas (O&G).

Sehubungan dengan itu, katanya, PKNM bersama Invest Melaka sedang mengkaji lebih terperinci mengenai industri berkenaan bagi meningkatkan ekonomi negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here