Temui jaguh-jaguh BMX di Malakat Mall hujung minggu ini

0
315
Kombat (dua dari kiri) berinteraksi dengan penunggang BMX di Malakat Mall, Cyberjaya baru-baru ini.

CYBERJAYA – Ribuan peminat BMX dijangka ‘berkampung’ dalam pelbagai acara menarik sempena penganjuran Cybertron BMX Jam (CBJ) yang diadakan di Malakat Mall di sini hujung minggu ini.

Tarikan utama dalam acara anjuran Malakat Mall itu adalalah pertandingan BMX bagi flatland dan freestyle, pertandingan basikal BMX tercantik (show bike) acara pump track untuk BMX dan kayuhan ria mengelilingi Cyberjaya.

Penganjur CBJ, Kombat berkata, selain tiga acara pertandingan yang menawarkan hadiah-hadiah menarik pihaknya turut menyediakan gerai jualan barang-barang BMX.

“Acara ini pada mulanya lebih kepada sesi ‘lepak santai’ untuk menghimpunkan kawan-kawan khususnya peminat sukan BMX.

“Tetapi selepas diumumkan, kami menerima sambutan dan cadangan supaya acara ini dibuka untuk pertandingan dan pertunjukkan basikal,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune hari ini.

Kombat yang merupakan pengasas dan gitaris kumpulan The Pilgrims itu berkata, pertandingan flatland dan freestyle BMX akan diadakan pada hari Sabtu dan dijangka tamat pada pukul 4 petang.

“Insyallah pertandingan ini akan disertai oleh peminat-peminat BMX dari seluruh Malaysia terutama dari sekitar Lembah Klang.

“Selain dua disiplin itu, kita juga menyediakan satu pump track sepanjang 40 kaki untuk melihat aksi peserta,” katanya.

Beliau berkata, bagi pertandingan show bike, penganjur membahagikan pertandingan kepada dua kategori iaitu survivor (klasik) dan ‘basikal cantik’.

“Acara ini akan disertai oleh ramai pengumpul-pengumpul tegar BMX lama yang akan menampilkan model-model klasik BMX yang penuh dengan nilai estetikanya.

“Acara show bike ini akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad,” katanya.

Kombat The Pilgrims selaku penganjur Cybertron BMX Jam yang akan berlangsung pada 27 hingga 28 November ini.

Menurut Kombat, kemeriahan CBJ juga akan dimeriahkan dengan fun-ride yang memberi peluang kepada peminat semua jenis basikal untuk berkayuh di sekitar Cyberjaya, pada Ahad 28 November.

“Kayuhan ini akan bermula pada pukul 8 pagi dan kami akan menyediakan kawalan trafik bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi dengan baik.

“Kayuhan sejauh kira-kira 12 kilometer yang bermula di Malakat Mall ini dijangka memakan masa selama dua jam,” katanya.

Selain itu kata Kombat, orang ramai yang hadir juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah basikal BMX Kuwahara yang berharga RM5,000.

“Jadi saya menyeru kepada peminat BMX dan sukan basikal umumnya untuk datang ke Malakat Mall pada hujung minggu ini.

“Selain CBJ, pihak Malakat Mall sendiri menyediakan pelbagai acara menarik seperti petting zoo, pony ride, busking, gerai jualan dan banyak lagi,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai acara ini boleh diperolehi di laman Facebook Malakat Mall.

Salah seorang peminat disiplin Flatland BMX mempamerkan aksi di Malakat Mall, Cyberjaya hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here