Tiada keperluan dua ADUN PN dilantik sebagai Exco Melaka

0
353
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan

SEREMBAN -Tiada keperluan untuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada keperluan untuk BN membawa masuk dua ADUN berkenaan dalam barisan Exco.

“Saya berpandangan, tiada keperluan mereka (ADUN PN) berada dalam barisan EXCO Melaka. Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’? 

“Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan. Jika kita tidak cukup kerusi betul la, tetapi kita sudah berlebihan kerusi.

“Dalam kalangan kita juga sudah berlebih untuk dilantik sebagai Exco. Jika dibawa kepada kepemimpinan parti saya akan tanya apa keperluannya kerana saya salah seorang pemimpin tertinggi parti, jika saya puas hati dengan jawapannya, itu okay,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan di Seri Sendayan malam tadi.

Sebelum ini, ,Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kedudukan dua ADUN PN dalam barisan Exco belum diputuskan.

Sulaiman berkata, perkara itu perlu melalui perbincangan bersama pucuk kepemimpinan BN dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here