Tujuh Ahli Parlimen PH gesa DBKL, Shahidan pertimbang larangan baharu jualan arak

0
471
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Tujuh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya mempertimbang untuk menarik balik perintah larangan baharu bagi penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.

Portal Free Malaysia Today melaporkan, kenyataan bersama itu melibatkan Tan Kok Wai (DAP -Cheras); Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang); Teresa Kok (DAP-Seputeh); Lim Lip Eng (DAP-Kepong); Hannah Yeoh (DAP-Segambut); Dr Tan Yee Kew (PKR-Wangsa Maju) dan Prabakaran Parameswaran (PKR-Batu).

Kenyataan bersama itu menyebut, mereka bersama beberapa persatuan perniagaan minuman keras sudah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Shahidan berkenaan isu berkenaan, namun beliau didakwa tidak mengambil serius pendirian serta cadangan persatuan perniagaan terbabit.

“DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan perlu menghormati cara hidup dan budaya semua rakyat Malaysia sama ada orang Islam atau orang bukan Islam,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu menambah, larangan menjual minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina, turut menyekat hak peniaga untuk berniaga serta menjual barang-barang yang sah di segi undang-undang di samping menyusahkan pembeli dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Kuala Lumpur.

“Kami menghormati agama Islam. Malah, kami tahu arak adalah haram untuk umat Islam. Tetapi apa yang haram kepada orang Islam tidak boleh dipaksakan terhadap orang bukan Islam, terutamanya dalam hal makan minum.

“Hak ini merupakan hak setiap rakyat yang telah dipersetujui bersama oleh tokoh-tokoh kemerdekaan kita yang menjadi tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Malah larangan tambahan DBKL itu akan menjejaskan imej dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Kelas Dunia (World Class City), yang bakal meraikan jutaan warga dunia daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup,” kata kenyataan itu lagi.

Mereka kemudiannya berkata, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina yang menjual minuman beralkohol merupakan perniagaan kecil dimiliki dan diuruskan oleh orang bukan Islam, dengan hasil penjualan minuman tersebut hanyalah kepada pelanggan bukan Islam dan ia merupakan salah satu sumber pendapatan yang penting bagi kedai-kedai serbaneka berkenaan.

Semalam, DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan penjualan bir di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur kini hanya dibenarkan sehingga 9 malam.

Katanya, perkara itu sebagai syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK) dan pelanggan masih boleh membeli bir di premis tersebut yang boleh dijual bermula jam 7 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here