Turki rancang buka pusat pemasangan akhir Hurjet di Malaysia

0
132
Prof. Temel Kotil

CYBERJAYA – Firma aeroangkasa Turki, Industri Aeroangkasa Turki (TAI) merancang menjadikan Malaysia sebagai pusat pemasangan akhir pesawat pejuang ringan (LCA) Hurjet sekiranya terpilih sebagai pemenang dalam tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan 18 buah pesawat jenis itu.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TAI, Prof. Temel Kotil ketika hadir menyaksikan pembukaan pusat kejuruteraan dan rekabentuk milik TAI yang pertama di Asia Tenggara yang terletak Cyberjaya, semalam.

Dalam ucapannya, Prof. Temel berkata, pihaknya komited dalam meneruskan pelaburan dan kerjasamanya di Malaysia untuk membangunkan teknologi generasi baru terutamanya di dalam industri pertahanan dan penerbangan.

Setakat ini, syarikat Turki itu mempunyai 10 buah pejabat teknologi di seluruh dunia.

Jurutera-jurutera Malaysia dan Turki akan melaksanakan kajian bersama di dalam beberapa bidang seperti pesawat tanpa pemandu, pesawat latihan, projek helikopter dan program permodenan penerbangan antarabangsa.

“Kami berhasrat untuk meluaskan pengalaman kami di dalam bidang-bidang ini menerusi projek-projek kerjasama dengan Malaysia selain memperkukuhkan industri penerbangan antarabangsa terutamanya di rantau ini,” katanya lagi.

Duta Turki ke Malaysia Merve Kavakci pula berkata, Turki mempunyai hubungan politik dan komersial yang kukuh dengan Malaysia dan berusaha untuk mendalamkan lagi hubungan itu menerusi kerjasama baru di dalam bidang pertahanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here