Ucapan Tuan Ibrahim serlah jati diri – Nasrudin

0
65
Nasrudin Hassan

CYBERJAYA – Langkah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam bahasa Melayu di sebuah persidangan antarabangsa telah menyerlahkan keunggulan jati diri sekali gus mengharumkan imej negara.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, usaha itu amat membanggakan negara dan seluruh rakyat Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.

“Yadim merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Tuan Ibrahim atas sikap  memartabatkan Bahasa Melayu dalam ucapan yang disampaikan beliau dalam Kenyataan Negara di Persidangan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu  (UNFCCC COP-26) di Glasgow semalam.

“Ucapan beliau di persidangan penting peringkat antarabangsa yang dihadiri majoriti negara luar ini mengharumkan imej dan nama negara yang memiliki keunggulan jati diri dengan bahasa ibunda sendiri disamping mesej utama ucapan dari pihak Malaysia di persada dunia dalam isu  alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, langkah yang diambil Tuan Ibrahim itu bukanlah sesuatu yang merendahkan taraf, bahkan menonjolkan kemegahan dan jati diri bangsa.

Katanya, ia sepertimana diketahui majoriti pemimpin dunia dalam persidangan itu bertutur dalam bahasa selain bahasa Inggeris.

Sementara itu, beliau berkata, Yadim selaku agensi yang sentiasa menyokong sebarang usaha memartabatkan negara, bangsa dan agama sepertimana tuntutan Islam dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan, menzahirkan kesyukuran kerana ada  pemimpin negara Malaysia yang mampu menzahirkan rasa bangga dan cintakan bahasa ibunda serta bertutur di perhimpunan masyarakat dan pemimpin dunia.  

“Semoga langkah yang dibuat Tuan Ibrahim akan mencetuskan gelombang cinta dan bangga kepada Bahasa Kebangsaan yang diikuti seluruh rakyat dan pemimpin negara demi negara dan bahasa tercinta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here