UDA beri jaminan rumah pangsa di Tanjong Tokong tidak dirobohkan

0
53
Penempatan rumah pangsa dan penempatan semula penduduk yang dibina oleh UDA di Tanjong Tokong

CYBERJAYA – Syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) tidak berhasrat atau mempunyai perancangan untuk merobohkan penempatan rumah pangsa di Tanjong Tokong, Pulau Pinang demi memastikan kepentingan penduduk di kawasan itu terjaga.

Menurut UDA dalam satu kenyataan, ini kerana penempatan yang dibina sejak 1972 telah menjadi hak milik penduduk di kawasan tersebut.

Katanya, projek itu pada awalnya adalah untuk menempatkan semula penduduk asal di Tanjong Tokong di kawasan seluas 43 ekar di mana 25 ekar telah dibangunkan dan baki 18 ekar bakal dibangunkan sebagai penempatan semula, rumah mampu milik dan rumah kos sederhana.

“Pada tahun 1998 pemberian tanah reklamasi seluas 54 ekar adalah untuk menampung sebahagian kos pembangunan penempatan semula penduduk Tanjong Tokong.

“Sehingga tahun 2020, UDA telah menyelesaikan sejumlah 1,486 unit penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong dan UDA sedang melaksanakan pembangunan untuk baki 650 keluarga yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

UDA

“Hampir keseluruhan unit-unit kediaman penempatan semula di Tanjung Tokong diberi secara percuma di peringkat penduduk asal (BPTOL), anak-anak BPTOL yang layak dan penyewa unit rumah yang layak.

“UDA juga tiada perancangan untuk merobohkan penempatan rumah-rumah pangsa yang telah dibina kerana ianya telah menjadi hak milik penduduk tersebut bagi memastikan kepentingan penduduk di Tanjong Tokong terjaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut UDA lagi, usaha itu juga selari dengan hasrat kerajaan dalam mengimbangkan sosioekonomi di kawasan bandar seterusnya mempergiat urbanisasi.

Mengulas lanjut, katanya, sejak penubuhan UDA di Wilayah Utara, sejumlah 18,486 unit kediaman dan 1,144 unit komersial telah dibangunkan di mana 99 peratus kediaman dan 93 peratus projek komersial dimilki oleh Bumiputera.

Selain itu, katanya, syarikat itu juga merupakan perintis kepada pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang yang menjadi model pusat komersial dan kediaman pertama seumpamanya di Malaysia.

Katanya, pembangunan tanah wakaf memberi peluang kepada umat Islam untuk memiliki hartanah.

“Antara pembangunan tanah wakaf dengan usaha sama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) yang telah dibina di sekitar Pulau Pinang adalah Wakaf Seetee Aisah (Taman Warisan Impian), Legasi Casarina dan Wakaf Mohammad Hashim.

“Usaha sama UDA dengan MAIPP juga membantu meningkatkan nilai hartanah wakaf seterusnya memperkukuh fungsi MAIPP dalam membangunkan umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, katanya, meskipun sejak 25 tahun lalu UDA tidak lagi mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan, pihaknya tetap komited untuk membantu Bumiputera khususnya dalam pemilikan hartanah di kawasan bandar.

Berikutan itu, katanya, bagi membantu UDA dalam kelangsungan operasi perniagaan, syarikat itu telah terlibat dalam pembangunan secara usaha sama antara bersama syarikat lain.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here