UMNO Jasin tidak puas hati dengan pemilihan Calon

0
1088
Gambar Sumber Media Sosial


JASIN- Belum apa-apa lagi nampaknya sudah ada pihak tidak berpuas hati dengan barisan calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan pagi tadi.

Antara kawasan yang mula ‘berbunyi’ ialah membabitkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Jasin.

Setiausaha UMNO Bahagian Jasin, Datuk Abdul Kalam Hassan berkata, tiga calon yang diletakkan di kawasan itu tidak memenuhi kehendak masyarakat dan akar umbi di kawasan terbabit.

Abdul Kalam berkata, rata-rata masyarakat dan ahli mula menunjukkan rasa resah dan kurang senang apabila mendapat tahu melalui media sosial berhubung senarai calon yang akan bertanding di Bemban, Sungai Rambai dan Rim.

Paling mengecewakan katanya, apabila nama Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kenapa calon baharu diletakkan di sini sedangkan beliau (Hasan) mempunyai rekod cemerlang kerana telah menjadikan Sungai Rambai sebuah daerah yang harmoni dengan pelbagai pembangunan dinikmati penduduk setempat.

“Masyarakat di sini sebenar kecewa apabila mendapat tahu nama Hasan tidak berada dalam senarai sebagai calon kerana mereka masih mengharapkan beliau bertanding mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

“Saya berharap pucuk pimpinan parti mengambil perhatian sikit kerana akar umbi sudah melahirkan keluh- kesah dan apa yang membimbangkan saya apabila keinginan untuk mencapai kejayaan, lain pula jadinya nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan DUN Sungai Rambai hari ini.

Menurut Abdul Kalam, ramai pihak menghubunginya dan menyatakan rasa kecewa apabila mendapat tahu calon bertanding bukan anak jati yang menetap di situ.

Nama Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira akan bertanding di Rim menggantikan Datuk Ghazale Muhamad.

Di Bemban pula, katanya, dalam kalangan ketua cawangan dan ahli amat kecewa selepas calon MCA diumumkan bertanding di DUN berkenaan.

“Selepas BN tumbang, kita jadikan Bemban sebagai kubu kuat UMNO dengan gerak kerja telah diatur dan dipupuk selama dua tahun. Tiba-tiba ia tidak menjadi kenyataan apabila kerusi ini diserahkan semula kepada MCA,” jelasnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here