Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia dibuka Julai 2022-Noh Omar

0
110
Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia akan mula beroperasi pada Julai tahun hadapan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Noh berkata, universiti tersebut adalah hasil naik taraf daripada Kolej Keusahawanan Koperasi Antarabangsa yang terletak di Cyberjaya dan akan menerima 1,000 pelajar sebagai permulaan.

Beliau berkata, proses menaiktaraf daripada kolej kepada universiti itu kini berada di peringkat akhir dan sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Universiti ini kita jangka akan dilancarkan pada Julai tahun depan bersempena dengan pengiktirafan bulan berkenaan sebagai bulan koperasi.

“Kabinet baru sahaja meluluskan pengiktirafan bahawa setiap bulan Julai akan dikenali sebagai bulan koperasi. Jadi kita harap apabila sudah mempunyai bulan koperasi, maka kita dapat menggerakkan gerakan koperasi dengan lebih hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Bicara Ketua Eksekutif ‘Nafas Baharu Koperasi Era Endemik’ dan Majlis Pelancaran Akronim Baharu Institut Koperasi Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai penggunaan akronim baharu Noh berkata, Institut Koperasi Malaysia yang menggunakan akronim IKM akan meminda akronim tersebut kepada IKMa.

“Tujuan utama pindaan ini adalah bagi meningkatkan imej dan visibilitinya di mata umum supaya masyarakat lebih mengenali dan memahami peranan IKMa dalam melahirkan warga koperasi yang cemerlang dan berdaya saing.

“Penjenamaan semula akronim ini dilihat sangat penting agar IKMa diperkukuhkan sebagai Pusat Latihan Modal Insan Koperasi dalam merealisasikan DKN2030 dan TransKoM 2021-2025.

“Disamping itu, penjenamaan ini juga sekali gus dapat menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi kerajaan yang lain contohnya seperti Institut Kemahiran MARA yang turut menggunakan akronim IKM,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here