Wira Bukit Kepong meninggal dunia

0
408
Tan Sri J. J Raj (Jr) meninggal dunia awal pagi tadi di Pusat Perubatan Ara Damansara

PETALING JAYA – Wira Bukit Kepong, Tan Sri J. J Raj (Jr) menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ara Damansara, di sini awal pagi tadi.

Bekas Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu meninggal dunia pada usia 100 tahun itu terkenal sebagai Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor.

Mendiang pernah mengetuai Skuad Harimau menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang komunis sewaktu era darurat pada 1950.

Mendiang kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada 1974 sebelum bersara wajib pada 1976 dengan pangkat Pesuruhjaya Polis.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM dalam satu kenyataan hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

“Mendiang yang berumur 100 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan berkenaan kira-kira pukul 1.55 pagi akibat serangan jantung.

“Sesungguhnya jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh mendiang sangat besar dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan dan negara,” katanya.

Jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai pada petang ini.

Mendiang meninggalkan empat orang anak serta tiga cucu, manakala isterinya, Puan Seri Irene Raj telah meninggal dunia pada tahun 2007.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here